Thursday, November 29, 2012

UCAPAN KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA YB KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR@PAU2012

UCAPAN KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA YB KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA, DEWAN TUN ISMAIL, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR-28 NOVEMBER 2012



1. Hamzah Fansuri pernah bergurindam, kepada orang muda ditinggalkan pesan:
"Wahai muda kenali diri mu
Ia lah perahu tamsil tubuh mu
Tiada lah berapa lama hidup mu
Ke akhirat jua kekal diam mu
Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahu mu jua kerjakan
Itu lah jalan membetuli insan"
Marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang telah mengurniakan kudrat untuk kita terus berkhidmat di atas wahana perjuangan UMNO, yang baru sahaja menyambut hari lahir yang ke 66. Ulangtahun kelahiran yang telah menjadi saksi penglibatan Pemuda UMNO berlari megah, merentasi 191 bahagian, seantero 13 buah negeri, untuk mengibarkan Sang Saka Bangsa di cakerawala negara. Sang Saka Bangsa – suatu nama keramat yang telah dizahirkan oleh Pergerakan kita sendiri.
2. Sebagai sayap paling penting dalam parti, organisasi kita menjadi pembawa wadah dan pelopor wawasan bukan sahaja buat orang Melayu tetapi juga seluruh watan, bermula dari era kolonial hingga ke kala arus permodenan mutakhir. Bukan sekadar menjadi pemerhati bisu atau pengikut tuli, namun sebagai pembawa obor perubahan, merintis jalan menuju kecemerlangan. Sirah kemerdekaan merakamkan bahawa Pergerakan kitalah yang telah membawa usul pada tahun 1955, agar tarikh kemerdekaan disegerakan dan dibuat pada tanggal keramat 31 Ogos 1957. Bahkan Pemuda jugalah perintis awal bagi semangat nasionalisme sejagat serta pengisian kemerdekaan yang inklusif dan sebenar, dengan cadangan agar slogan kemerdekaan ditukar dari "Hidup Melayu" kepada "Merdeka" pada tahun 1951. Natijahnya, dari dulu, kini dan selamanya, maqasid dan manhaj perjuangan Pemuda tidak pernah sirna dari memastikan UMNO kekal relevan.
3. Di atas landasan kesinambungan ini, Pemuda UMNO sentiasa berada di hadapan kelok perubahan zaman. Di kala awal penubuhan Pemuda, kita telah menggalas amanah sebagai kumpulan pendesak – sejajar dengan tuntutan era pra dan pasca penjajahan – yang akhirnya menyumbang ke arah kemerdekaan negara, dan seterusnya pembentukan Malaysia. Demi masa dan peralihan zaman, dan bersesuaian pula dengan konteks Model Baru Politik, kini Pemuda UMNO telah diberi nafas baru, penjenamaan semula dan perisian semasa sebagai pertubuhan yang lebih mampan dan proaktif dalam menangani isu generasi muda. Kita percaya, untuk menjuarai suara dan aspirasi pelapis bangsa, Pemuda haruslah mampu menawarkan wadah penyelesaian kepada mereka – bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir, terpekik terlolong menjaja retorik.
4. Penghijrahan tasawwur atau worldview baru yang saya tekankan tahun lepas adalah manifestasi kematangan perjuangan pertubuhan kita. Kita harus kekalkan keseimbangan antara tradisi dan pemodenan, kemajuan fizikal dan pembangunan sahsiah, antara hikmah sejarah dan potensi pembaharuan bukan semata untuk seiring dengan zaman, tetapi juga demi agama yang menuntut kemuliaan dalam kepimpinan. Justeru, agenda pendekatan islah politik ini menuntut kita untuk sentiasa berubah, agar peranan politik UMNO terus berada di batasan paling mutakhir.
5. Berbekal semangat juang tanpa sempadan, kita tidak hanya sekadar mengetengahkan peri-penting UMNO di mata orang muda. Tetapi selaku juara anak muda, Pemuda juga pencetus utama kepada UMNO untuk mencerminkan hasrat generasi baru yang menitikberatkan hak asasi manusia, ketelusan tadbir urus dan kebebasan bersuara. Disamping pendekatan dan penjenamaan baru ini, Pemuda tetap memelihara tradisi dan legasi parti keramat UMNO.UMNO kaya dengan warisan tersendiri – tiada satu pun organisasi lain dalam negara ini yang setaraf dengan UMNO dalam soal sejarah dan sumbangan kepada tanahair. Tradisi ini terus kekal terpelihara di bawah teraju dan kepimpinan Pemuda UMNO. Sayugialah pepatah Melayu: gayung bersambut kata berjawab, yang lama kita kelek, yang baharu kita junjung.
6. Apa yang tidak mampu disangkal lagi, adalah peranan Pemuda sebagai pemangkin dalam memugarkan sebuah kerajaaan yang mesra aspirasi anak-anak muda. Jika dahulu fungsi Pemuda sekadar kumpulan pendesak, kini kita telah menjalani proses transisi yang lebih menjurus kepada politik khidmat bakti dan politik islah. Sejajar dengan itu, kerajaan telah mengambil pendekatan sarwajagat yang terbuka dalam mengiktiraf anak-anak muda, dengan pelbagai inisiatif khusus yang sesuai dengan jiwa mereka. Pendekatan lapuk berbaur autoritatif, yang cenderung kepada mengarah kelompok bawahan, dan berasaskan program hiburan picisan semata, sudah tidak boleh diaplikasikan lagi – kerana kesemua ini berorientasikan pendekatan memperkecil dan meminggirkan bakat serta potensi orang muda.
7. Segala ini bertitiktolak dari penubuhan Makmal Generasi Muda atau BN Youth Lab yang dirangka khusus untuk mendalami naluri anak muda Malaysia. Sekalipun inisiatif ini sudah berusia lebih tiga tahun, namun ia program perintis Pemuda yang telah meneroka dan membuahkan program-program mesra orang muda, dari orang muda. Kita telah membawa satu pengislahan politik dari gerakan rambang penuh teka-teki, kepada mekanisme kontemporari berasaskan kajian dan buah fikiran kumpulan sasar. Makmal Generasi Muda juga telah mengangkat suara Pemuda UMNO dari sekadar pendesak politik kepada penjana cadangan bernas dalam perencanaan dasar negara. Lanjutan dari itu, pelbagai saranan telah dirumus merangkumi pelbagai aspek seperti perumahan, pendidikan, transformasi undang-undang melalui pemansuhan ISA serta rombakan AUKU, sekaligus pelbagai dasar dan program bagi penjagaan anak-anak dan ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan kawalan harga barang.
8. Sekali lagi sejarah tercatat semasa pembentangan Belanjawan 2011, apabila beberapa prakarsa Pemuda telah disebut dan diberi pengiktirafan seperti Skim Rumah Pertamaku, penubuhan Dana Belia 1Malaysia, penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara ke arah penetapan gaji minimum dan juga pelbagai peruntukan dana serta skim latihan kemahiran. Bak kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya –segala inisiatif belanjawan yang mesra orang muda ini adalah rantaian dari suara dan gerak kerja Pemuda, yang telah menjadi ibarat payung besar di tengah padang, tempat bernaung dari panas, tempat bernaung dari hujan untuk anak-anak muda.
9. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak sampai melayang. Setiap zarah nikmat yang dikecapi tidak ditawarkan gratis, melainkan di atas perancangan rapi dan gerak kerja semua pihak dari pucuk pimpinan, kerajaan dan juga Pemuda. Hasil keringat dan pendekatan Pemudalah, hari ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) kian mesra generasi muda. Justeru, hakikat tidak terkhilaf lagi, suara dan peranan Pemuda didengari dan diiktiraf oleh parti dan kerajaan.
10. Selagi kita masih berkalam sebagai wakalah golongan muda, kerajaan tetap mengangkat suara dan menyelami masalah mereka. Contoh paling mutakhir adalah pengisian Belanjawan 2013 – belanjawan getir paling mesra orang muda setakat ini. Belanjawan yang mencakupi aspek dan isu generasi muda seperti perumahan, pekerjaan, latihan, skim bantuan keusahawanan, kos sara hidup, baucar buku, diskaun PTPTN, penjagaan anak-anak, bantuan BR1M 2.0, hatta untuk membeli telefon pun akan diberi rebat!
11. Lantaran itu, Pemuda bersyukur kerana YAB Presiden Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak, bukan sahaja seorang yang begitu menjiwai agenda islah politik, tetapi juga aspirasi anak-anak muda. Pemuda mengucapkan syabas kepadaYAB Presiden di atas sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada program kesukarelawanan orang muda 1Malaysia for Youth (1M4U). Ini kerana aspek kesukarelawanan adalah salah satu cabang yang telah dipelopori dan dicetuskan oleh Pemuda, melalui inisiatif Dana Belia 1Malaysia.
12. Alhamdulillah, berkat dan hasil usaha gigih kita telah menjadi impetus kepada gelombang sokongan orang muda kepada BN. Ini bukan hebah kosong memuji diri, tapi sudah terbukti berkali-kali. Kalau dahulu, kita berjaya memancing kembali sokongan pengundi muda pulang ke dakapan BN, semasa siri pilihanraya kecil beberapa tahun lepas, hari ini bukti datang dalam bentuk pilihanraya kampus pula. 18 daripada 20 pilihanraya kampus dimenangi oleh golongan yang menyokong BN. Semua kejayaan ini timbul kerana agenda kita agenda orang muda, perjuangan kita perjuangan anak muda. Tanpa syak lagi, BN Pilihan Orang Muda.
Para perwakilan sekalian,
13. Menyusuri kembali rentetan khidmat empat tahun lalu, kita telah berjaya mengubah pemikiran dan tanggapan umum melalui pelbagai idea dan inisiatif mesra orang muda, yang telah diangkat menjadi dasar dan program kerajaan. Memegang ijtihad yang sama, saya mahu Pemuda UMNO terus merasuk semangat ke dalam minda anak-anak muda, menawarkan kepimpinan intelektual, di samping kita terus mengukuhkan peranan sebagai ejen penyelesaian dan pencetus idea kepada kerajaan, agar generasi akan datang terus mendapat manfaat. Kita ini kalau kurang berfikir rajin membangkang, sampai bila-bila pun di baris belakang.
14. Menjunjung tanggungjawab sebagai ejen pencetus idea, saya kemukakan cadangan pertama tahun ini. Pemuda sentiasa mengambil berat aspek latihan dan penghakupayaan di kalangan generasi muda. Kita sering mengambil langkah wahid dalam membantu graduan dan orang muda untuk mendapatkan pekerjaan. Tidak terhenti setakat itu, kita turut membantu mereka yang dikekang masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Memandangkan isu penghakupayaan amat penting dalam pembangunan modal insan, Pemuda berpendapat kerajaan harus melipat gandakan usaha dalam aspek ini. Malah, Pemuda proaktif mencerminkan dedikasi ini melalui Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) dan Biasiswa Pendidikan Pemuda (BNYES). Inisiatif-inisiatif ini akan kami teruskan lagi supaya menjadi legasi kepada generasi kepimpinan dalam Pemuda, insya-Allah.
15. Pemuda juga menyambut baik program seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), yang dirangka khusus untuk mempertingkat keupayaan graduan kita mendapatkan pekerjaan, dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga firma-firma swasta. Lantaran itu, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan agar agenda latihan dipikul oleh semua, dengan mensyaratkan sebarang projek dan kontrak kerajaan, hanya diberikan kepada syarikat yang mempunyai program latihan industri untuk anak-anak muda tempatan. Melalui pendekatan ini, tanggungjawab melatih orang muda tidak lagi menjadi tanggungan eksklusif kerajaan, tetapi turut dikongsi oleh pihak swasta yang mendapat manfaat dari projek dan kontrak awam. Pada masa yang sama, ia membuka peluang kerjadan memberi prospek yang lebih cerah, kepada golongan muda untuk mencari pendedahan dalam industri.
16. Cadangan kami yang kedua merangkumi isu kebanjiran buruh asing dalam negara. Setakat Ogos tahun lalu sahaja, dianggarkan ada 2.3 juta orang pekerja asing di Malaysia, tidak termasuk mereka yang datang tanpa izin. Pemuda tidak menyangkal kebergantungan kita kepada buruh asing, terutamanya dalam sektor-sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan. Namun pada masa yang sama, Pemuda serius dalam mengkaji tren pengaliran masuk pekerja asing ke dalam sektor lain, lebih-lebih lagi sektor perkhidmatan. Perkara ini genting kerana kita hendaklah memastikan struktur dan komposisi buruh selari dengan hasrat merombak ekonomi negara – dari berteraskan persaingan kos kepada ekonomi yang berlandaskan inovasi dan nilai tambah yang tinggi. Pemuda sedar bahawa kos seorang pekerja asing adalah lebih rendah berbanding pekerja tempatan. Maka, Pemuda mengusulkan agar syarikat-syarikat yang menjana pekerjaan untuk warga muda tempatan, diberi pelepasan cukai atau geran, agar mereka tidak dikekang masalah kewangan untuk beroperasi.
17. Beralih pula kepada cadangan Pemuda yang ketiga. Selaku Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), saya kerap melihat syarikat-syarikat tempatan berjaya menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, sehingga setanding dengan pesaing-pesaing mereka dari luar negara. Malangnya, syarikat-syarikat ini gagal memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada kerajaan, kerana kerajaan masih bergantung kepada produk dari luar negara. Pemuda simpatetik dengan musibah yang menimpa syarikat-syarikat ini, dan berharap kerajaan dapat membuka peluang kepada usahawan-usahawan tempatan, dengan memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan yang bukan saja berkualiti, tetapi juga menepati piawaian serta syarat-syarat tender yang dikenakan. Semua sedia maklum bahawa pasaran Malaysia adalah sangat kecil dan syarikat tempatan perlu ke luar untuk berjaya. Tetapi untuk diterima di luar, kita perlu jadi juara di gelanggang sendiri dahulu. Kalau kita lihat, negara-negara seperti China, Jepun dan Korea, mereka amat mengutamakan hasil tempatan melalui polisi kerajaan dan akhirnya, jenama mereka dapat kick-start yang cukup untuk berjaya di peringkat global. Oleh itu, Pemuda mengesyorkan Kerajaan melaksanakan kempen "Buy Malaysia First" atau "Beli Barangan Malaysia", supaya usahawan tempatan dapat diberi keutamaan. Pemuda bukan mengkritik, sekadar mengingatkan. Jangan anak di pangkuan kita lepaskan, kera di hutan kita susukan.
18. Seterusnya kami ingin memberi cadangan tentang agama, khususnya tentang zakat yang merupakan salah satu rukun Islam. Agama kita mewajibkan kebajikan dan bantu-membantu antara satu sama lain. Tapi apa yang terjadi hari ini, pengagihan wang zakat tidak menyeluruh dan tak sampai kepada golongan yang memerlukan. Bila kita dengar mereka ini dibantu orang lain, dari agama lain atau isu murtad berleluasa dalam kalangan asnaf, kita melenting marah. Hakikatnya ini salah kita juga. Jadi Pemuda mencadangkan agar kerajaan memperluaskan usaha mencari asnaf di setiap peringkat, agar bantuan zakat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Tiada alasan untuk golongan ini tidak mendapat bantuan dari sudut agama, kerana agama telah mengajar bahawa kemiskinan menyuluh jalan kekufuran.
19. Seterusnya, Pemuda mengusulkan prakarsa kelima untuk mengembangkan lagi kelompok Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, terutamanya di kalangan usahawan dan profesional muda. Walaupun pendekatan masa kini lebih berpaksikan prinsip ketelusan dan pasaran, ini tidak bermakna kita mengetepikan matlamat untuk menghasilkan komuniti Bumiputera, yang ekonominya lebih berdaya tahan. Pemuda akan terus lantang bersuara demi memastikan medan persaingan yang adil, dan hasrat penstrukturan masyarakat terbentuk dengan jayanya. Pemuda juga berharap kerajaan akan menjana peluang lebih luas kepada golongan muda Bumiputera, bagi menjawat tampuk penting dalam soal pengurusan atau penggubalan dasar. Selama ini, bila timbul kekosongan jawatan lembaga pengarah GLC, peluang sering diberikan kepada pesara politik dan kerajaan. Amalan ini wajar disemak semula, mustahil tiada langsung profesional muda Melayu dalam dewan ini, mahupun di luar sana yang berkebolehan. Kami bukan menidakkan kebijaksanaan serta sumbangan pesara politik dan kerajaan, tetapi jenguk-jenguklah jua golongan muda. Kami yakin semangat dan idea baru orang muda dapat memberi nilai tambah kepada pengurusan sesebuah agensi atau GLC.
20. Satu lagi masalah yang ditanggung oleh orang muda, adalah apabila mereka terjerat dalam hutang, dan akhirnya diisytiharkan muflis dalam usia muda. Dari kira-kira 120 ribu kes kebangkrapan sepanjang tahun 2005 hingga 2012, 32 peratus daripadanya melibatkan golongan muda. Anak-anak muda ini gagal untuk meneruskan hidup dek bebanan kebangkrapan dan disenarai hitamkan. Nak berniaga tak boleh, nak beli rumah pun tak boleh, semuanya hancur dalam stigma seorang yang bangkrap. Pemuda menyeru kerajaan untuk memberi peluang kedua kepada golongan ini. Hari ini, undang-undang kebangkrapan persis hukuman mati mandatori untuk golongan bangkrap, ramai yang terkial-kial cuba keluar dari prosedur ketat, tapi gagal. Pemuda menyarankan supaya kerajaan melihat semula kepada mereka yang bangkrap, bebaskan mereka dari hukuman mati ekonomi yang bakal memburukkan lagi hidup mereka. Jadikan prosedur perlepasan kebangkrapan lebih mudah. Kita kurangkan tempoh masa untuk si bankrap memohon perlepasan, sejajar dengan trend di negara-negara lain. Kita juga harus membantu orang muda dengan memberi pendidikan tentang pengurusan kewangan. Dan dalam kes-kes tertentu, bayaran cukai boleh ditangguh dan bantuan kewangan diberi kepada usahawan untuk mengelakkan kebangkrapan. Janganlah disebabkan bangkrap, masa depan mereka hancur. Pemuda menyeru kerajaan membantu golongan muda dalam kesempitan kewangan.
21. Cadangan ketujuh menyentuh soal atap di atas kepala rakyat. Pemuda mengalu-alukan langkah kerajaan menambah baik Skim Rumah Pertamaku serta peruntukan dana 500 juta ringgit untuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Namun, ada dua isu yang ingin Pemuda bangkitkan. Pertama, unit rumah PR1MA tidak cukup dan kedua, tentang sistem cabutan ballot. Anggaran menunjukkan bahawa hampir 50 peratus daripada golongan berpendapatan sederhana masih belum memiliki rumah di Lembah Klang. Hanya terdapat 9 ribu unit rumah kosong di negeri Selangor dan Kuala Lumpur berbanding dengan 370 ribu isi rumah yang masih mencari kediaman. Keduanya, dalam kita meraikan pemilihan berdasarkan sistem cabutan ballot yang dilaksanakan oleh PR1MA, Pemuda juga meminta agar kuota khas disediakan buat keluarga muda dalam semua projek perumahan PR1MA untuk memastikan kelompok ini tidak terlepas peluang.
22. Dalam menjadi pendokong suara rakyat, cadangan Pemuda yang kelapan adalah tentang penstrukturan semula bantuan kebajikan. Ini kerana jumlah bantuan yang diberi perlu lebih logik untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik ini. Sebagai contoh, bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar hanya 300 ringgit sebulan. Cubalah kita bayangkan, 300 ringgit itu tak cukup untuk beli lampin pesakit, apatah lagi untuk menanggung kos ubat, tambang ulang-alik ke hospital dan makan-minum si penjaga orang sakit. Sehubungan dengan itu, Pemuda mendesak agar kerajaan dapat merombak semula dasar kebajikan, dari segi jumlah yang diberi dan kelayakkan pemohon, agar niat kita dalam memberi pertolongan benar-benar tercapai.
23. Cadangan kesembilan pula, Pemuda menggesa agar YAB Perdana Menteri tetap istiqamah, dalam meneruskan program transformasi politik beliau. Selain daripada isu-isu ekonomi, transformasi politik amat penting bagi orang muda di mana jua. Mereka dahagakan langkah untuk menjadikan Malaysia lebih terbuka dan demokratik – iaitu satu usaha yang diteruskan oleh YAB Perdana Menteri, bermula dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Tetapi kita tidak boleh berhenti di situ sahaja, UMNO dan BN adalah parti sebenar yang memperjuangkan tadbir urus yang sempurna dan menentang rasuah. Parti yang melindungi hak asasi manusia dan menjuarai agenda masyarakat sivil. Ini adalah hakikat politik masa kini. Walaupun dulu kita fikir kita tak mampu hidup aman tanpa ISA, tapi kini kita berjaya membuktikan sebaliknya. Justeru, Pemuda mendesak kerajaan untuk meneruskan lagi transformasi politik ini, agar generasi muda tidak perlu mencari reformasi politik di gelanggang lain. Kita mahukan apabila orang muda berfikir tentang perubahan, mereka yakin BN lah pilihan muktamad. BN lah parti yang berjuang untuk integriti, ketelusan, kebebasan dan keadilan dari dahulu, kini dan selamanya.
24. Cadangan kesepuluh merupakan satu initiatif khas Pemuda UMNO yang bakal membawa berita baik kepada ribuan orang muda. Hasil kajian Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda UMNO (SHEB), ada kira-kira 200 ribu lebih penunggang motosikal, khususnya di kalangan orang muda yang tidak mempunyai lesen. Mungkin mereka tidak ada lesen kerana kecuaian sendiri, atau mungkin kos untuk mendapat lesen terlalu tinggi. Ramai di kalangan mereka sudah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menunggang tanpa lesen dan mereka tidak mampu mendapat pembiayaan guaman. Ada juga yang hidup ketakutan kerana waran tangkap sudah keluar. Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kita kena terima hakikat bahawa ramai yang mengalami nasib ini sebab tidak mampu membayar kos mendapatkan lesen memandu. Atas kesedaran ini, saya ingin mengumumkan satu initiatif terbaru Pemuda UMNO yang bernama Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang telah dijalankan secara perintis di Pekan. Pemuda akan bekerjasama dengan JPJ, PDRM dan agensi-agensi lain untuk menawarkan kursus lesen motosikal pada harga 199 ringgit, yakni 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran. Kami juga akan minta supaya Kerajaan menaja sebahagian dari pemohon BL1M yang datang dari keluarga pendapatan rendah agar mereka dapat lesen dengan percuma. Kami juga dalam proses berunding supaya mereka yang sudah kena tindakan mahkamah mendapat keampunan jika melalui BL1M dan mereka terlepas dari kebimbangan dipenjarakan. Ini hadiah istimewa bagi golongan orang muda yang tersepit, khas dari Pemuda UMNO.
Para perwakilan sekalian,
25. Tidak dapat dinafikan, Pemuda memainkan peranan penting sebagai pelapis pucuk pimpinan parti induk kita. Yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi di barisan paling hadapan kepimpinanan nasional pada hari ini, saya berani nyatakan, bahawa sebilangan besar daripada mereka telah diacu, dikelok dan diasah dari tampuk Pemuda UMNO. Apa tidaknya, YAB Presiden pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO. YAB Timbalan Presiden pula pernah menganggotai Exco Pemuda UMNO. Dua daripada tiga Naib Presiden UMNO hari ini bekas Ketua Pemuda pusat, dan seorang lagi bekas Ketua Pemuda negeri. Malah, ketua pembangkang pun bekas Ketua Pemuda Malaysia! Tercemar sedikit legasi kita, tapi tak apa, kita manusia tidak sunyi dari melakukan kesilapan.
26. Kita menginsafi warisan ini, namun bak pesan Hamzah Fansuri dalam syair Perahu – muda dan gagah kita tak kekal lama, ia hanya pinjaman semata. Karier dan perjuangan kita dalam Pemuda UMNO juga begitu, punya tahap waktu, bak kata orang putih, ada 'shelf life'. Tapi muda sekali biar bererti. Jangan kita noktahkan perjuangan dan khidmat bakti di paras satu, dua, atau tiga penggal cuma. Kita mesti mengatur strategi di luar norma biasa untuk melahirkan pemimpin dan generasi pelapis paling getir, untuk menyambung legasi pergerakan ini – para pelapis yang punya semangat setala Jebat, gagah bak Megat Seri Rama.
27. Jika diperhalusi lembaran sejarah, perkara mencari pelapis ini mesti dipupuk dari awal lagi – pantang dibuat semberono. Sejajar dengan harapan kita untuk melahirkan pelapis bermutu, Pemuda tidak pernah kenal erti lelah, siang atau kelam, dalam usaha untuk meningkatkan keahlian parti. Dan kita sebenarnya sudah lama mendepani sayap-sayap lain, mahupun parti induk sendiri, dalam meneroka dan menambah bilangan ahli baru. Dalam lebih kurang 43 bulan saya memegang jawatan Ketua Pemuda, tiada satu bulan pun di mana Pemuda tidak mendahului sayap lain dan parti induk dalam soal penambahan ahli. Angka tidak pernah menipu. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa Pemuda merupakan gerbang pintu masuk utama parti UMNO – khususnya dalam kalangan golongan muda. Tapi jangan kita tersilap – muda tidak bermakna jahil, kuantiti tidak menjamin kualiti. Usaha dan tanggungjawab kita tidak terhenti setakat mengambil nama dan mendaftar ahli, cabaran seterusnya datang untuk melahirkan generasi pelapis yang celik lanskap politik, cekap menjana idea baru dan mampu menyelusupkan hasrat generasi kontemporari, kepada badan Pemuda UMNO itu sendiri.
28. Menelusuri langgam generasi muda masa sekarang, kita telah menganjurkan program yang cocok dengan jiwa mereka, seperti Sukarelawan Pemuda BN atau BN Youth Volunteers (BNYV) dan BN Youth Kampus (BNYK), yang kita baru lancarkan semalam. Waima BNYV itu amat dekat di hati saya, apa yang tidak boleh dinafikan di sini adalah bukti penjenamaan semula Pemuda UMNO, kerana bukan calang-calang sambutan yang diterima. Di atas antelas BNYV, seramai lebih kurang 10 ribu orang muda, sudah mula menjiwai kelarai perjuangan BN. Apa yang lebih manis, untuk kita taulan seperjuangan, anak-anak muda dalam BNYV dan BNYK berprofil bukan sembarangan. Mereka individu muda bersahsiah, suka bertanya, punya visi dan misi tersendiri. Berkonotasi dengan keperibadian seperti ini, mereka bakal menjulang iktikad dan falsafah parti kita. Mereka tidak betah membeli omongan kosong dan sandiwara ampuh pihak pembangkang. Jika dulu kita fikir kita tidak akan mampu menawan hati gologan muda, yang sangat kritikal dengan perjuangan kita, tapi hari ini jelas penjenamaan semula Pemuda yang menjurus kepada politik khidmat bakti, telah berjaya menawan kelompok ini.
29. Mungkin sebelum ini mereka berasa segan atau janggal untuk mendekati parti kita yang kaya dengan tradisi dan protokol tersendiri. Kini melalui BNYV dan BNYK, kita sudah mengubah nuansa pendekatan menjadi lebih terbuka, pragmatis dan inklusif untuk merapatkan barisan kita di aula generasi baru. Meskipun tidak berhasrat untuk menggantikan peranan bahagian dan cawangan UMNO, ia merupakan harfiah kreatif kita untuk memupuk modal insan yang lebih berkualiti dan berpotensi. Mudah-mudahan jika diizinkan Tuhan, adik-adik kita ini bakal jadi pelapis pimpinan Pemuda UMNO, lantaran meneruskan kesinambungan legasi untuk generasi akan datang.
30. Walau lorong perjuangan dan pengorbanan sudah jauh diteroka, kita tidak pernah alpa bahawa perangkaan politik kita memerlukan perancangan yang lebih syumul. Maka, saya dan kepimpinan pusat akan kekal berusaha mengenal pasti bakat-bakat segar dari dalam dan luar organisasi kita ini, untuk kita bimbing dan asuh menjadi harapan masa depan bila zaman Pemuda kita tamat kelak. Baik cawangan Pemuda mahupun kampus universiti, kami akan terus turun padang mencari individu berpotensi tinggi!
31. Jika kini fokus utama kita adalah PRU13, selepas pilihan raya kelak kita wajar melipat ganda usaha untuk mengasah bakat-bakat pemimpin yang baru. Dalam konteks hasrat ini, alang-alang kita berfikrah atas nama latihan dan pendidikan, Pemuda sedar bahawa pengisian kurikulum politik perlu selari dengan cabaran dan lanskap politik masa sekarang. Apa dangkalnya kita mencari seribu bakal pemimpin hari esok, seandainya hari ini mereka masih diasuh dengan pengisian politik jumud. Acapkali sudah saya menyentuh soal transformasi yang bergolak dalam kancah politik tanahair, kerana memang jelas, betapa minda dan kehendak generasi muda amat berbeza dengan generasi terdahulu. Demi membantu latihan generasi pelapis ini, saya mengumumkan hasrat kita membina satu akademi khusus untuk Pemuda UMNO, yang bakal diberi nama sempena Ketua Pemuda yang pertama, Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI). Saya impikan penubuhan akademi ini di Sabah, negeri yang mana walaupun bongsu dari segi penubuhan UMNO, tetapi telah menjadi antara kubu kuat parti kita. Ini untuk menjadi legasi kita dalam membina kepimpinan masa akan datang.
Para perwakilan sekalian,
32. Di samping kita memikirkan soal kepimpinan masa depan, wajar juga kita menginsafi tanggungjawab kita selaku pemimpin muda hari ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat ke-54:
Yang membawa maksud: "Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu, Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
Pengajaran yang dapat disingkap dalam ayat tersebut, masa muda hanya tiba sekali seumur hidup. Ia satu fasa kehidupan yang cukup penting dalam menjana kepimpinan. Perjalanan masih panjang, destinasi sudah jelas dipandang. Sungguhpun masih banyak yang perlu dipelajari, kita juga akui, rata-rata Pemuda sudah pun bersandar pada landasan yang kukuh dengan kekuatan dan jatidiri. Sewaktu umur ini, Pemuda dalam situasi terbaik untuk menerokai idea-idea baru, lantas memperbaharui model kepimpinan dan politik generasi sebelum ini. Zaman muda adalah zaman keemasan yang mengurniakan peluang-peluang yang tidak datang sebelum datangnya muda, dan ia takkan datang lagi selepas perahu muda ini berlalu pergi.
33. Berpegang kepada tasawwur ini, kita insaf bahawa Allah SWT telah mengatur takdir dan ujian untuk setiap daripada kita. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-286:
Bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya."
34. Dalam usaha kita untuk mengambil peluang zaman muda, sekaligus menzahirkan sebaik keupayaan kita, kita juga harus sedar bahawa kapasiti kepimpinan setiap insan, pasti berbeza. Tidak dapat tidak, dalam mana-mana arena politik sekalipun, sudah pasti ramai yang memendam cita-cita mendaki puncak kepimpinan. Dalam pendakian ini, janganlah pula kita terlalu ghairah mengejar puncak, sehingga kita alpa dengan pahala kebajikan. Maha Pencipta tidak mewajibkan setiap seorang daripada kita untuk menjadi pemimpin tertinggi masyarakat, apatah lagi pemimpin tertinggi negara. Sebaliknya, Islam mengajar kita bersatu, berlumba-lumba membuat kebaikan, selaku pemegang obor amanah Allah SWT.
35. Maka, jika kita berpegang kepada perjuangan berlandaskan amanah, kita takkan dengki, takkan rakus, dalam mengejar jawatan di muka bumi. Jauh lebih mulia, jika kita semua berjuang ikhlas atas asas kemampuan dan fitrah kurniaan Allah SWT. Ini yang menjadi kunci kejayaan sesuatu perjuangan murni – bukannya mahu berebut jadi ketua, wakil atau kepala. Dalam konteks parti dan pergerakan kita pun, kekuatan bukan terletak di bahu pemimpin teratas semata-mata. Sebaliknya, tulang belakang terbina dari sumsum kegigihan panglima-panglima muda di segenap peringkat – masing-masing dengan kelebihan dan senjata tersendiri. Berkat doa, istiqamah serta usaha yang ikhlas, insya-Allah, ajaran Islam memberi kita pedoman untuk mengacu aspirasi model kepimpinan berlandaskan keinsafan. Melaksanakan khidmat dan tanggungjawab demi kebajikan semua, dan bukan untuk memuaskan nafsu serakah semata.
Para perwakilan sekalian,
36. Di samping kita menyumbang keringat berdasarkan kekuatan unik masing-masing, kita juga sedar bahawa ada di antara kita, yang sesuai diketengahkan selaku pemimpin di persada politik negara. Selari dengan niat kita menggunakan kelebihan zaman muda dalam menerajui kepimpinan baru, kita bersuara kerana percaya era Pemuda telah tiba. Pola politik mutakhir ini memancarkan petanda yang jelas. Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa generasi mudalah kuasa penentu terbesar dalam politik negara. Tahun lepas di dewan yang mulia ini, saya menyentuh soal peralihan generasi berlandaskan perubahan pemikiran golongan muda. Lewat ini, soal peralihan generasi ini tampak semakin mustahak. Dalam asimilasi kita bersama geng muda di peringkat akar umbi, semakin jelas aspirasi mereka yang dahagakan kepimpinan serasi dengan congakan dan sudut pandang mereka.
37. Sebagai orang muda sendiri, sememangnya kita berada dalam kedudukan terbaik untuk benar-benar mencerminkan hasrat dan jiwa mereka. Kita yang paling dekat dengan orang muda, kita yang bergaul dengan mereka. Kita yang berada di barisan hadapan memperjuangkan kebajikan anak muda, tidak kira walau di Parlimen, di belakang tabir, di depan tabir, di mana sahaja – demi memastikan setiap dasar Kerajaan adalah dasar yang mesra orang muda.
38. Pemuda tidak mendesak apa-apa untuk kepentingan sendiri, jauh sekali untuk meminta-minta buat pemuas nafsu haloba. Namun, atas realiti politik masa kini, kita berhasrat agar peralihan generasi ini bukan setakat di atas kertas sahaja. Jika realiti politik menunjukkan bahawa orang muda adalah segmen pengundi baru terbesar, bukankah munasabah sekiranya mereka mahukan wakil-wakil dari rakan sebaya mereka juga? Seafdalnya, biarlah peralihan generasi berlaku di peringkat parti, yang mencerminkan lebih ramai calon-calon Pemuda diberi peluang, pada pilihanraya akan datang.
39. Dan saya yakin, berbekalkan kesedaran dan usaha komited Pemuda, ramai antara kita memang sudah bersedia untuk memikul cabaran selaku calon pilihanraya. Waima begitu, kesetiaan kami tak pernah goyah terhadap keputusan muktamad YAB Presiden. Kami sekadar menzahirkan hasrat kami yang membuak kerana cintakan negara, membuak kerana percaya masa kami telah tiba. Segala apa yang kami usahakan adalah atas dasar kerja, tanggungjawab dan cinta kami terhadap UMNO.
Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan
Kalau sungguh perkasa belaka
Badan dan kudrat sila taruhkan
Ke Kota Tinggi membeli suasa
Suasa di ikat bersama rotan
Giliran kita sudah tiba
Kini masa orang muda ke depan
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Kami pemuda sudah bersedia
Pantang berundur mengalah jangan!
Para perwakilan yang dihormati,
40. Kini masanya sudah tiba, ini Perhimpunan Agung UMNO yang terakhir, sebelum kita tempuh pilihanraya paling sengit dalam sejarah. Sekarang terbentang di depan mata, tersurat di susuk minda; dua pilihan untuk rakyat demi menentukan yang mana hak, yang mana batil; siapa layak, siapa kecundang untuk memegang tampuk pentadbiran. Antara dua pilihan masa depan, yang akan ditentukan pada piliharaya akan datang. Dan apabila kita cakap tentang pilihan, jangan tepuk dada tanya selera, itu cara lama. Kita orang bijaksana harus tepuk minda tanya hati, sebelum jari memangkah kertas undi.
41. Pilihan masa depan pertama tawaran pihak lawan, manisnya bukan kepalang. Janji populis puak Pakatan tak kenal sempadan. Masa depan yang berasaskan semuanya percuma – atau hampir percuma sungguh merdu di telinga, tapi hakikat nyata berbeza. Bermula dari penurunan harga minyak sekiranya esok mereka berkuasa, penghapusan PTPTN dengan segera, pelupusan tol jalanraya tidak semena, penurunan harga kereta, hatta pendidikan pun akan diberi semua percuma. Segalanya tampak indah bila kita hidup dalam utopia ciptaan Anwar Ibrahim. Tapi perlu diingat, tiada yang percuma dalam dunia, janji beliau bisa membankrapkan negara. Kos bagi janji mereka mencecah lebih 200 bilion ringgit dalam tahun pertama sahaja. Untuk pembangkang, samaada negara bankrap atau tidak, samaada kewangan diurusbaik atau sebaliknya, langsung tak ambil pusing, yang penting mereka hanya mahu merampas tampuk kuasa.
42. Ujian pertama bagi sebarang janji adalah penghalusannya. Dalam hal ini, untuk hebahan semua, jumlah peruntukan bagi belanjawan Kerajaan Persekutuan 2012 adalah sebanyak 232.8 bilion ringgit. Daripada jumlah tadi, janji-janji pilihanraya pembangkang sahaja, hampir mencecah 90 peratus daripada belanjawan tahunan kerajaan. Jadi jika kesemua janji mereka dipenuhi dalam tahun pertama memerintah, akibatnya,kerajaan tidak akan punya cukup wang untuk membayar gaji guru, doktor, jururawat, polis dan tentera, apatah lagi membina jalan, sekolah, hospital atau menyediakan bantuan kebajikan. Jika ini berlaku kesemua perkhidmatan penting akan terhenti dan negara akan gagal berfungsi. Jika pembangkang memutuskan untuk meminjam lebih banyak wang untuk membiayai janji-janji mereka, defisit kerajaan akan membengkak, hutang pula kian mencanak.
43. Inilah gambaran sebenar masa depan yang dilakar oleh pembangkang – gelap dan kabur dengan bayangan janji tak bertulang. Apa yang pasti, sekiranya mereka teruskan juga taburan janji mereka – negara akan bankrap dan lemas dalam hutang. Atau mungkin inilah niat mereka yang sebenar, untuk menunaikan hajat Ketua Umum yang terbantut – mengemudi negara ke lembah kehancuran sebelum diselamatkan oleh gerombolan rakan-rakannya di IMF.
44. Rakyat sudah lama cerdik lagi arif, dan kita sedia maklum bahawa pembangkang itu saudagar mimpi. Dari utara ke selatan, dari Semenanjung ke pulau Borneo, tak kenal letih, terkinja-terkinja menjaja retorik. Namun masa depan bersama kami, kemudinya berlainan. Malaysia bersama BN tidak akan ditimpa bala ekonomi seperti Greece, rakyat tidak akan terpenjara di bawah beban hutang yang mencengkam,kita tidak akan memporak-perandakan kestabilan ekonomi, bukan macam pakatan pembangkang, silap haribulan terpaksa melutut minta pinjam wang dari IMF.
45. Kalau pun bukan isu bangkrap yang jadi perhitungan, apakah sanggup kita memperjudikan nasib negara di tangan pembangkang yang tak pernah punyai rekod mentadbir negara. Ya, kita akui mereka kini mentadbir beberapa negeri, tapi kalau kita baca Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan baru-baru ini, haru-biru ceritanya.
46. Di Selangor misalnya, apa jadi dengan Skim Tabung Anak Wawasan Selangor (TAWAS) yang dicanang, digendang, gegak gempita seantero negeri? Janji untuk beri simpanan tetap 100 ringgit untuk setiap anak Selangor, ditempelak keras dalam Laporan Audit. Apa tidaknya, harapan nak ringankan beban keluarga punah berderai. Dalam 61 ribu permohonan, hanya 36 peratus sahaja diluluskan. Kalau ikut KPI saya, itu sudah gagal betul namanya. Ternyata, Tawas sudah tewas!
47. Itu belum kita jengok masalah di UNISEL. Tidak payah saya berhujah panjang, cukup sekadar mengingatkan Pakatan bahawa mengikut Laporan Audit 2008, UNISEL merekodkan keuntungan 5.97 juta ringgit, hasil warisan pentadbiran BN. Namun, selang dua tahun sahaja, segala keuntungan hangus dek kerakusan dan ketidakupayaan pembangkang – dari untung terkumpul hampir 6 juta ringgit, menjunam rugi 47.3 juta ringgit pada tahun 2010. Saya cadangkan, sebelum berjanji memberi pendidikan percuma, betulkanlah dulu kepincangan di UNISEL.
48. Itu baru laporan audit Tawas dan Unisel, janji-janji pra PRU 12, bagaimana pula?
• Mana janji pendidikan tadika percuma?
• Mana janji mencarum Takaful untuk warga emas dan si kurang upaya?
• Mana elaun ibu tunggal, sampai dah kena saman? Mana elaun khas surirumah?
• Mana janji bekalan air percuma setiap bulan tanpa syarat?
49. Itu Selangor, belum lagi kita perhalusi apa yang jadi di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.
Di Kelantan:
• Harapan Program Ladang Rakyat, bagi membantu golongan miskin dengan pemberian dividen dan gaji untuk peserta, punah berkecai tak kesampaian.
• Bukan sahaja gagal, malah amalkan kronisme pula. Bertempik terlolong mereka jaja kononnya kita amalkan kronisme, namun bagaikan musang berbulu ayam, dalam diam baki projek dipajak kepada syarikat kroni pilihan Kerajaan PAS sendiri, tanpa penilaian terperinci.
• Mereka bising projek Lynas dan Pengerang kerana kesannya kepada alam sekitar. Ini lah apabila gajah depan mata tak nampak, kuman seberang lautan mereka nampak. Kawasan tadahan air di Bukit Pos Pasik, tercemar akibat pembalakan melampau dan pembukaan ladang rakyat. Orang asli juga terpaksa berdepan dengan penyakit apabila air tadahan kotor berlumpur. Ini belum lagi kita cakap tentang bekalan air kotor yang terus menyeksa rakyat Kelantan.
Di Pulau Pinang:
• Sandiwara pembangkang yang kononnya menjaga rakyat, terkulai rebah dalam kes tanah Taman Manggis, tanah yang sepatutnya dibina rumah kos rendah sebaliknya dijual kepada syarikat swasta. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pemuda BN Pulau Pinang kerana telah mendedahkan penipuan Ketua Menteri dengan menyahut cabaran menyediakan wang untuk beli tanah tersebut. Tapi sehingga hari ini Lim Guan Eng diam membisu tak berani sahut cabaran, takut pecah tembelang.
Di Kedah:
• Pengurusan pentadbiran negeri Kedah lebih kecamuk, boleh buat pelaburan di luar negara tanpa kelulusan lembaga pengarah dan mendedahkan wang kerajaan negeri dalam pelaburan berisiko tinggi.
• Penyelewangan berlaku di sana-sini, termasuk dalam menyediakan rumah kos rendah untuk rakyat termiskin. Ada bukti menunjukkan kontraktor yang tak cukup syarat dilantik dan pelik bin ajaibnya pula ada bayaran untuk satu kontraktor dibayar kepada pihak lain.
• Ada kontraktor yang membuat tuntutan berulang-ulang pada kerja yang sama dan pada unit rumah yang langsung tak wujud. Ini dosa besar bila kita mencuri dari golongan miskin melalui rasuah dan sikap tidak amanah.
50. Begitulah, saudara-saudara, rencah pentabdiran Pakatan, tanah dirampas, peruntukkan digadai, alam sekitar dihina dan pengurusan kewangan cacamarba. Kalau dapat mentadbir negara, habis punah, kita semua menempah celaka. Kalau kita mahu memperbutirkan satu persatu janji populis dan kegagalan pakatan pembangkang, jawabnya sampai ke subuh kita bersidang. Cukup sekadar saya sebut, peluang mentabdir di beberapa negeri telah mereka tongsampahkan. Janji tinggal janji, tak cekap mentadbir kewangan dan negeri, pendek kata mereka memang tak mampu, tak layak memerintah negara!
Para perwakilan sekalian,
51. Bercakap atas angin itu murahan, janji sembarangan itu khayalan. Berbeza dengan masa depan yang ditawarkan oleh BN, memang pantang perjuangan kita menghancurkan negara dengan polisi populis melulu. Lantaran itu, masa depan yang kita tawarkan kepada rakyat, berasaskan transformasi yang syumul, bukan reformasi jalanan bersalut janji.
52. Kita arif benar, kelangsungan hidup bertonggakkan realiti. Masa depan yang dicorak kerajaan BN untuk rakyat, berkala di atas fakta dan penyelidikan. Wang di kantung dicongak, dihitung, sebelum menabur sebarang janji. Tidak tegar kerajaan ini meletakkan masa depan anak watan, di meja perjudian kuasa seperti pakatan pembangkang.
53. Memang sahih, kita buta hati seandainya gagal mentafsirkan 55 tahun kemerdekaan ini, sebagai bukti kewibawaan BN. Benar, memang tiada pentadbiran yang maha kamil. Namun kita akui, dalam tempoh lebih setengah abad itu, walau ada cacat cela dan kekhilafan, kepimpinan BN sahajalah yang mampu meneroka kemerdekaan, mengisi kelompongan pentadbiran, menstruktur ekonomi rakyat, mengindustrikan sektor tani, dan meneroka perkembangan alam maya. Komitmen tinggi ini diterjemahkan lagi dengan wawasan jangkauan jauh dan juga transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden sendiri.
54. Kita lihat sahaja Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Kerajaan BN membuka telinga kepada segala rintihan dan suara berat rakyat. Kos sara hidup kita tangani, rasuah kita perangi, pendidikan kita perluaskan dan kadar jenayah seluruh negara kita turunkan. Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) pula melihat Malaysia menjadi sebuah oasis yang stabil dan maju dalam kancah kemelesetan ekonomi dunia. Tatkala negara lain sengsara dengan kadar pengganguran, dan harga barang yang mencanak naik, negara kita tetap utuh dengan visi ekonomi kerajaan BN. Kita tetap gah menjana ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan perniagaan, menarik masuk pelaburan dan meningkatkan perdagangan. Ini bukan bohong jajaan saudagar mimpi, inilah realiti kita hari ini dan hari esok, insya-Allah, kita akan jadi lebih bagus. Hakikatnya, pembangkang tak mampu memacu negara ke arah status negara maju berpendapatan tinggi, stabil dan menjana lebih banyak pekerjaan, menjelang tahun 2020. Mereka hanya penabur janji, sedangkan kita arkitek realiti. BN berpijak di bumi yang nyata, bukan berendoi fantasi dunia. Pokoknya, masa depan yang ada visi dan realiti, adalah masa depan dengan Barisan Nasional di sisi.
Para perwakilan sekalian,
55. Itu baru perbandingan dari sudut mentadbir ekonomi. Jelas tak terkata, masa depan bersama UMNO dan BN lebih mantap lagi terjamin. Sementara di bawah Pakatan, masa depan bakal punah dan jahanam. Bagaimana pula dengan masa depan rakyat dari sudut nilai kemasyarakatan dan maruah negara? Masih jelas dalam fikiran apabila gambar YAB Perdana Menteri dipijak, dikoyak dan ditayang bontot dengan hina. Siapa yang ajar anak muda kita berbuat demikian, kalau bukan pembangkang yang memupuk politik kebencian,di kalangan generasi muda untuk membenci pemimpin dari awal lagi?
56. Apa jadi dengan budaya muafakat dan demokrasi berparlimen yang telah lama kita amalkan? Kalau Pakatan berkuasa, Parlimen bakal jadi gajah putih kerana mereka tak percaya keluruhan undang-undang, tapi mereka sukakan rusuhan. Untuk mereka apa yang penting, jeritan siapa lebih kuat dan berapa ramai datang berdemo di jalanan. Setiap kali ada masalah, mereka desak rakyat jangan berbincang dengan kerajaan, teruskan saja berdemo di jalanan, apa yang mereka bawa hanya budaya anarki dan revolusi semata.
57. Masa depan yang beginikah kita mahu di bawah mereka? Rencam seperti inikah yang pembangkang dambakan untuk generasi baru? Apa jadi dengan nilai kita orang timur? Mana rangka pembangunan negara, mempertahan maruah bangsa? Semuanya hilang dalam rakus merebut kuasa.
58. Sejarah bukan catatan semata, sejarah adalah sempadan pengajaran yang mesti diingati. Kita bangga kerana sejarah telah menunjukkan bahawa pemimpin kita bersinonim dengan Merdeka, UMNO adalah pasak utama dalam menuntut kebebasan dari penjajah, dan kita semua di dewan hari ini, adalah pewaris kepada tradisi kemerdekaan itu. Tapi ada juak-juak yang tak letih mengancam kemerdekaan ini, Ketua Umum mereka kantoi besar menagih, meminta, campurtangan asing untuk pilihan raya akan datang. Ini bukan sahaja memalukan negara, malah menghina perjuangan kemerdekaan kita. Sungguh terdesak mereka hingga tergamak minta kuasa asing menentukan destinasi politik kita. Terang-terang mereka tak yakin dengan kebijaksanaan rakyat dalam menentukan pilihan, hingga sanggup mengheret orang luar untuk mengajar kita – sedangkan demokrasi kita sudah bertapak lama. Masa depan beginilah yang bakal kita hadapi di bawah Pakatan: daulat disita, maruah dihina.
59. Dan perjuangan UMNO tak pernah tersasar dari paksi dan nilai Islam, malah kita pejuang sebenar dalam soal mempertahankan maruah agama, bukan macam parti yang bernama Islam. Lidah ulama mereka jadi kelu bila orang biadap seperti Ngeh mencerca agama kita, kecut menikus tak berani bersuara bila konsep negara Islam sinis ditertawa DAP, dan bila keluar mazhab baru menggalakkan murtad, mereka terus bisu! Kalau begitulah onarnya, PAS bukan pejuang agama, sekadar menjadikan agama sebagai platform untuk agenda politik mereka. Di bawah nilai Islam yang nirmala, pimpinan tertinggi PAS sanggup mendoakan kebinasaan UMNO, kebinasaan saya dan anda semua dalam dewan ini. Kalaulah doa-doa begini diajar kepada anak-anak kita, apa nasib bangsa dan agama sekiranya mereka berkuasa? Sesiapa saja yang mereka tak suka, didoakan supaya lekas binasa. Tapi tak apa, kita bukan seperti mereka, kita sama-sama doakan agar ahli-ahli PAS selamat selamanya, dan suatu hari nanti mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan tidak lagi sesat di bawah ketaksuban dengan pemimpin yang gemar menyemai kebencian.
60. Bila bercakap soal berjuang untuk agama dan keadilan sejagat, UMNO sudah lama bersuara untuk rakyat Palestin, tapi puak yang sebelah sana apa cerita? Kepada penerbitan The Wall Street Journal, Ketua Umum mereka gah berkata ala juara: "I support all efforts to protect the security of the state of Israel" ("Saya menyokong segala usaha untuk mempertahankan keselamatan Negara Israel").Tapi sekarang saat Palestin dibedil rejim Israel, orang yang sama sanggup buat pusingan U turn! Kata dia, Israel "pengganas" kerana menyerang Gaza. Sekali lagi contoh sesumpah yang menukar warna mengikut kepentingan semasa.
Para perwakilan,
61. Bagaimana pula dengan pilihan dua masa depan itu untuk orang Melayu? Sedarlah semua,hanya UMNO sahaja yang dapat mempertahankan bangsa Melayu. Ini bukan soal pilihan tetapi hakikat, kerana tidak ada parti lain yang mampu menjaga kedudukan Melayu serta Islam, selain UMNO. Jelas terbukti pakatan pembangkang langsung tidak memperakui perjuangan, serta pengorbanan orang Melayu. Di samping kita membawa gagasan inklusif di bawah 1Malaysia, perjuangan UMNO tak kan pudar, apatah lagi berundur barang setapak, dari menjadi pembela dan wadah perjuangan orang Melayu. Ternyata sudah, di kala kekalutan orang Melayu melihat PAS mengenepikan matlamat negara Islamnya, pada masa PKR sibuk dengan ehwal peribadi Ketua Umumnya, UMNO tetap tegar membawa agenda masa depan orang Melayu. UMNO payung orang Melayu, UMNO pembawa obor masa depan orang Melayu, UMNO dan Melayu kekal terpatri selamanya.
62. Kini jelas di hadapan kita, masa depan bersama BN akan menjamin Perlembagaan kekal dijulang, Raja dijunjung, Islam dimuliakan, kedaulatan negara dipertahankan dan bangsa Melayu diperkasakan. Manakala, masa depan di bawah Pakatan akan melihat negara bakal muflis, maruah bangsa dipijak-pijak, kacau bilau di mana-mana, Islam yang tidak terbela, keruntuhan akhlak dan moral, silap haribulan kemerdekaan tergadai. Di bawah muslihat Pakatan, Persekutuan Malaysia akan jadi perpecahan Malaysia. Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan ideologi dan undang-undang yang berbeza. Hudud versi PAS akan mengawal hidup di Pantai Timur sekaligus menakutkan orang bukan Islam dan konsep "Malaysian Malaysia" yang meminggirkan orang Melayu akan bermaharajalela di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Manakala di negeri-negeri PKR pula, tiada apa yang suci, semuanya halal, anything goes, asalkan Anwar kekal dijulang.
63. Pakatan apa sebenarnya mereka ini? Nama saja Pakatan namun jarang sekali bersepakat, sehinggakan calon Perdana Menteri belum tentu yang mana. Siapa bakal Perdana Menteri mereka? PAS kata Hadi Awang, DAP kata Anwar Ibrahim, geng muda PKR kata bagi kepada anak Ketua Umum. Ramai lagi yang mahu jadi Perdana Menteri dalam Pakatan ini sebenarnya, namun semuanya kabur belaka. Berbeza sekali dengan BN – semuanya jelas pilihan Perdana Menteri kita hanya satu, tak lain tak bukan, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak. Di bawah pakatan pembangkang, negara akan berpecah, perpaduan rakyat akan berpatah arang berkerat rotan! Demi bangsa yang merdeka ini, Pemuda tidak akan sesekali membenarkan negara terpisah di bawah tiga sistem berbeza, tiga falsafah hidup bertentangan dan tiga ideologi politik berasingan. Jangan digadai jerih nenek moyang menyatukan negara ini, kita tidak akan benarkan masa depan hancur di tangan mereka. Nyata, hanya satu masa depan yang akan mengekalkan kita bersama, masa depan 1Malaysia, untuk semua rakyat Malaysia, di bawah Barisan Nasional!
Sahabat sekalian,
64. Semboyan perang pilihan raya sudah bergema, bersedialah Pemuda jangan kau alpa.
Sesungguhnya sejarah itu benar;
Mahal airmata bapa kemerdekaan itu benar;
Getirnya pengorbanan bapa pembangunan itu benar;
Berlikunya jalan bapa perpaduan itu benar;
UMNO pembela bangsa Melayu itu benar;
Pemuda UMNO hulubalang bangsa itu juga benar;
Kita ambil pengajaran dari mimpi-mimpi Onn Jaafar yang hilang.
65. Dalam berahi kita membongkar helah pembangkang, jangan sekali kita lupa. Di hadapan benteng bala tentera musuh kian mara. Langkah demi langkah, mereka seret bendera dan meriam kehancuran, yang bakal meranap harmoni yang telah lama kita bina.‬

66. Sejarah dunia mengajar kita – saat-saat serupa pernah berlaku. Detik yang menentukan antara benar dan batil; antara makmur dan jahanam; antara petualang dan pahlawan! Bagi mereka yang setia, kala detik ini tiba, muncul erti sebenar perjuangan yang hakiki. Bertaruh hidup dan mati atas nama maruah dan kepercayaan.‬‬‬‬‬‬‬
67. Kita imbas saat tercetusnya Perang Dunia Kedua, sewaktu gerombolan Paksi hampir menyentuh kepulauan Britain, di kala bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churcill, menyemarak semangat juang rakyat. Detik getir antara dua kemungkinan, antara dua masa depan, antara cahaya dan kegelapan. Perwira itu tak goyah, tak gentar, malah berikrar: negaranya akan bertempur di lautan, bertempur di udara, di tepi pantai mahupun di celah jalanan. Negaranya tidak akan menyerah kalah, kendati pun dibiarkan kebuluran!
68. Dengan seiras semangat juang, saya menyeru para perwakilan, mari kita tempur seteru kita di segenap ruang! Kita bahas mereka di Parlimen, kita patahkan hujah mereka di kedai kopi, kita dedah muslihat mereka di alam siber! Tak kira di kota atau di desa, kita tumpaskan pengkhianat bangsa. Kita tempur, kita gempur, lantas berkuburlah Pakatan durjana!
69. Wahai pejuang-pejuang muda, detik penentu begini tak kerap tiba. Semboyan parti kita belum pernah menjerit selantang ini. Gemanya menyeru setiap kita, walau apa badai melanda, walau mati segala cita-cita, kita berikan segalanya di medan juang ini, hingga ke titisan darah yang terakhir! Ini ikrar kita, kita pastikan semua di luar sana tahu, pastikan sejarah tercatit, dikala seteru tiba, bala tentera Pemuda terpacak di barisan paling hadapan, sanggup berkorban, demi agama, bangsa dan negara.
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!

Wednesday, November 28, 2012

Kenapa Hamas hargai UMNO, Bukan PAS?

Peranan Malaysia sebagai agen pengaman telah diiktiraf dunia. Malaysia dipandang tinggi kerana komitmen dan konsistensi dalam memperjuangkan dan menyokong keamanan dunia.

Apabila dikatakan Malaysia, maka ia secara automatik membawa erti kepimpinan dan kerajaan Barisan Nasional yang bertindak mewakili suara rakyat Malaysia keseluruhannya. Justeru, secara tidak langsung, tidak salah jika dikatakan bahawa penghargaan tersebut juga dituju kepada Barisan Nasional juga.

Sebagai sebuah parti yang mewakili masyarakat Melayu Islam di Malaysia, UMNO, sebagai salah satu komponen BN turut memainkan peranan dalam memperjuangkan keamanan di dunia, terutamanya, dunia Islam. Alhamdulillah, atas segala khidmat bakti itu, hari ini, bukan sahaja Malaysia yang mendapat pengiktirafan, tetapi UMNO juga telah mula dipandang tinggi sebagai pihak yang memainkan peranan penting dalam memperjuangkan keamanan di negara-negara Islam.

Ini terbukti apabila Ketua Perhubungan Awam Hamas, Osama Hamdan, iaitu salah seorang daripada ahli panel dalam forum bertajuk Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat - Memandang ke Hadapan atau ke Belakang, yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang akan bermula esok, menyatakan penghargaannya terhadap UMNO kerana banyak menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

UMNO juga, kata beliau, sentiasa berpegang teguh dengan pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin walaupun setelah Hamas mengambil alih pentadbiran negara bergolak itu daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Beliau juga secara khusus menghargai kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani isu Palestine dan mengecam keganasan Israel. Antaranya, dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di Phnom Penh baru-baru ini, Datuk Seri Najib telah membangkitkan isu mengenai Palestin dan secara spesifik, meminta Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama agar mengambil tindakan segera untuk menghentikan konflik yang berlarutan di Gaza.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

12 Kali PRU PAS Bohongi Rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung tiga sayap utama UMNO ada menyebut, "Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihan raya, 12 kali Pas berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam."

Beliau berkata demikian ketika merujuk pada hala tuju perjuangan PAS yang ternyata hanya bijak memperalatkan agama Islam untuk kepentingan politik kepartian.

Selanjutnya beliau meminta rakyat supaya mengambil kesempatan PRU 13 nanti untuk memastikan PAS tidak lagi bebas untuk terus berbohong dengan berselindung disebalik retorik agama yang mengelirukan.

Barangkali menyedari betapa pedasnya teguran oleh Timbalan Presiden UMNO itu, tak semena-mena para penyokong PAS dan PR menghamburkan kemarahan mempertikaikannya.

Memang agak pahit untuk penyokong pembangkang menerima kebenaran kenyataan itu sekalipun terbukti benar sejak 61 tahun PAS ditubuhkan hanya gembar-gembur propaganda sahaja yang mampu PAS utarakan kepada rakyat.

Mudah untuk PAS berjanji itu dan ini konon asas perjuangan bersandarkan Islam dan sunnah Rasulullah s.a.w, namun realiti dari segi praktikalnya bab kata Tan Sri Muhyiddin kepada PAS, "jauh panggang dari api,"

Lihat sajalah tindak balas lemah oleh kepimpinan PAS ketika timbulnya isu kebebasan agama yang di suarakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, sehingga kini PAS gagal mencapai kata sepakat berkenaan isu itu.

Ramai dikalangan pemimpin PAS lebih gemar mengambil pendirian berkecuali atau hanya berdiam diri sekalipun tahu kenyataan anak sulung Ketua Umum PKR itu besar impak negatifnya terhadap akidah orang Melayu Islam.

Malah dalam menentukan siapa yang sepatutnya menjadi PM sekiranya PR diberi peluang memerintah juga PAS gagal tanganinya dengan berkesan sehingga akhirnya ternampak jelas kuasa pemutus sebenarnya berada di tangan DAP manakala PAS cumalah sekadar balaci sahaja.

Sudah 12 kali musim PRU berlalu, dan dalam tempoh itu hingga sekarang PAS terus gagal membuktikan partinya jauh lebih baik dari UMNO, baik dari segi manfaat untuk rakyat, agama mahupun negara.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Perhimpunan UMNO Menenggelamkan Semua Himpunan Jalanan Pembangkang

Jika ada yang mengatakan bahawa UMNO atau BN semakin lemah, Perhimpunan UMNO yang sedang berlangsung sekarang, dengan sendirinya menafikan kenyataan itu.
Jelas terlihat di PWTC ini, bagaimana kekuatan dan semangat UMNO tidak pernah goyah walau sedikit. Pemimpin datang dan pergi, dengan yang salah dihukum, yang benar dijulang, sekali gus membolehkan UMNO kekal sebagai parti keramat bangsa Melayu Islam yang dihormati di rantau ini.

Kekecewaan dan kebimbangan yang kadangkala melanda akibat sikap segelintir yang tersasar arah, tidak menjejaskan keyakinan ahli-ahli terhadap parti.

Ini kerana ahli-ahli UMNO rata-ratanya cukup matang untuk memahami perjuangan ini iaitu perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara yang dipegang sebagai prinsip utama.

'Prinsip' adalah kunci utama kekuatan UMNO. Mungkin segelintir di dalam parti ini mempunyai masalah dengan prinsip diri, namun apa yang pasti, prinsip parti UMNO itu sendiri tidak pernah bermasalah, malah kekal teguh dan tetap, dipasak terus ke sanubari setiap Melayu yang punya jatidiri.

Kita lihat hari ini bagaimana parti yang menggadaikan prinsip dan parti yang tidak ada prinsip, terhoyong-hayang diheret orang. Itulah PAS yang melelong Negara Islam dan juga PKR yang lahir dari penjara. Kedua-dua parti itu kini semakin bingung disergah dan diarah-arah oleh DAP.

Akibat prinsip yang caca-marba, bertukar-tukar dan tidak masuk akal, maka perjuangan pakatan mereka menjadi tidak tentu arah. Sekejap berhimpun memperjuangkan pilihanraya bersih, sekejap memperjuangkan alam sekitar, kemudian hudud, kesamarataan total, hatta berhimpun mendesak peliwat dibebaskan. Pendek kata, asal ada ruang, mereka pasti akan 'berjuang' tetapi berjuang untuk apa, itu belakang kira. Akhirnya, perjuangan mereka diterjemahkan dalam sepasang perkataan iaitu 'BN K.O'.

Maka jelaslah sudah, bahawa apa yang mereka perjuangkan bukanlah prinsip, tetapi kuasa.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Thursday, November 22, 2012

Jawatan PM Perkara Kecil Bagi PR

Sepertimana yang dijangka oleh para pemerhati politik, semakin dekat dengan PRU, semakin kelam kabut Pakatan Rakyat jadinya.   Sebelum ini
semua pihak di dalam PR menerima baik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri serta mengiakan saja apabila Buku Jingga mengambil-alih hudud
atau Negara Kebajikan menggantikan Negara Islam.  Berbagai-bagai kenyataan dibuat oleh pemimpin-pemimpin PR untuk menjustifikasikan
keputusan yang diambil secara 'sepakat' ini.

Malangnya, PR bukan sebuah parti yang wujud atas satu pendirian yang sama.  Setiap dari parti sekutu PR berdiri atas pentasnya sendiri,
dengan setiap pemimpin tertingginya mengimpikan singgahsana masing-masing.  Penyokong masing-masing pula berpegang kepada
keyakinan bahawa parti merekalah yang lebih kuat, yakni mendominasi Pakatan Rakyat.

Pengundi Cina percaya bahawa DAP menguasai PAS dan hanya kerana itu mereka berani memberi sokongan kepada DAP.

Penyokong PAS pula berusaha memaksa diri untuk percaya yang DAP tidak akan menguasai PAS dan PAS juga tidak mudah dikuasai kerana itu mereka
terus menyokong PAS.  Lagipun, mereka gusar tidak dapat masuk syurga jika tidak menyokong PAS.

Manakala, penyokong PKR pula percaya yang kedua-dua DAP dan PAS pasti tunduk kepada Manusia Hebat Luarbiasa Anugerah Tuhan, iaitu Anwar
Ibrahim dan kerana itu mereka terus mengabdikan diri kepadanya dengan harapan agar mendapat satu dua projek atau sebijik dua Ferrari bila beliau menjadi PM nanti.

Justeru, untuk sementara, PR berada dalam tenang dan stabil bersandarkan senario di atas.  Namun, segala-galanya kini berubah selepas Muktamar ke-58 PAS.

Muktamar tersebut mendedahkan bahawa penyokong-penyokong  PAS telah tersedar yang DAP menguasai pemimpin mereka dari luar dan PKR pula
telah menguasai mereka dengan cara menyelinap terus ke atas.  Lalu, pemberontakan dalaman dan tekanan untuk melihat PAS menguasai diri dan
juga PR, mula terserlah.  Ini diterjemahkan dengan melonjakkan nama Hadi Awang sebagai PM sekali gus menolak Anwar Ibrahim.

Kesemua pemimpin PR cuba meremehkan tindakan akar umbi PAS sebagai sebuah impian atau harapan semata-mata dan tidak semestinya
diambil-kira.  Maka, berguraulah Mat Sabu konon sekiranya kedua-dua Hadi dan Anwar kalah maka beliau juga boleh jadi PM.   Tidak mustahil
Mahfudz Omar juga ada memasang angan-angan untuk menjadi PM berdasarkan senyum simpulnya ketika kelu ditanya pemberita mengenai
siapa yang disokongnya sebagai PM.

Malah, saranan Tun Mahathir bahawa Karpal Singh yang paling layak juga tidak wajar diketepikan begitu saja.  Karpal sudah lama berjuang dan
cukup konsisten dalam menyatakan pandangan terutama dalam menolak hudud dan Negara Islam.   Cuma satu saja yang Karpal tidak konsisten
iaitu dahulunya beliau menghentam Anwar tetapi kini beliau pula yang membela dan menjulang Anwar.

Namun, jangan lupa, jika Karpal dianggap layak, maka apa kurangnya Lim Kit Siang?   Bukankah beliau lebih layak sebagai PM di negara bermasyarakat majmuk ini kerana beliau telah berpengalaman secara langsung dalam 'menangani' masalah perkauman ketika tragedi 13 Mei.

Dan jangan kita lupa juga pada Nik Aziz yang dianggap wali keramat serta berhak menghukum manusia lain dengan hukum Allah SWT.   Lagipun,
bukankah hanya Ulama saja yang layak memerintah, bak kata orang PAS? .. err..suatu ketika dahululah..

Rata-rata pemimpin PR nampaknya mengelak untuk mengecam saranan akar umbi PAS untuk melantik Hadi Awang sebagai PM.  Malah, Anwar sendiri
mengelak untuk memperbesarkannya.  Mungkin Anwar yakin yang tidak mungkin PAS mampu mengenepikannya bagi jawatan tersebut.  Mungkin juga
DAP yakin yang siapapun menjadi PM, mereka tetap akan menjadi dalang di belakangnya.  Justeru, masing-masing hanya memberi komen umum tanpa
kepastian yang tuntas tentang siapakah bakal PM jika PR menang PRU.

Dengan mengambil sikap mengelak dan membisu atau memberi respon umum, maka PR meletakkan penyokong-penyokong mereka dalam keadaan berharap sementara pengundi atas pagar pula dibiarkan dalam keadaan keliru dan kabur.    Seolah-olah jawatan PM bukan sesuatu yang penting dan boleh dibincangkan semula selepas menang nanti.

Sedangkan, jawatan PM adalah tonggak utama bagi meletakkan keyakinan rakyat kepada PR.  Dari jawatan itu, barulah dapat dibayangkan 'rupa
paras' kabinet PR dengan lebih jelas, serta hala tuju negara di bawah pemerintahan mereka.

Ini kerana, jika PMnya Anwar, maka Malaysia akan dibawa ke arah liberalisme, jika Kit Siang atau Karpal maka Malaysian Malaysialah jadinya dan jika Hadi Awang maka Malaysia akan menjadi negara Islam konservatif.

Kita perlu ingat bahawa PR bukan seperti BN yang mana parti-parti komponennya berpegang kepada aspirasi yang sama, menjunjung perlembagaan dan kedaulatan Raja-raja.  Pun begitu, jawatan PM bagi BN tetap penting, apatah lagi bagi PR yang caca-marba aspirasinya.

Dengan meremehkan isu jawatan PM, semakin terserlahlah sikap PR yang melihat politik sebagai perkara main-main iaitu sekadar satu perlumbaan merebut kuasa.  Siapa yang paling bijak mengatur langkah, maka dialah yang berjaya.  Hala tuju negara atau nasib rakyat adalah tiada kena mengena sama sekali dengan permainan mereka.

Hadi & Anwar Berebut Sakan, Karpal Singh Tersengih Riang

Ramai yang tersenyum sendirian bila membaca kenyataan sinis dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyarankan agar Pengerusi DAP, Karpal Singh dimasukkan dalam senarai sebagai calon Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr. Mahathir, Karpal sebagai orang yang sudah lama berjuang dalam politik tentunya turut mengharapkan jawatan itu sama saja seperti diangan-angankan oleh Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Sindiran pedas ini tentunya mengundang rasa tidak senang ramai pemimpin PR yang sekarang ini sedang kelam kabut bersilat lidah untuk meredakan isu jawatan Perdana Menteri yang sekarang ini ibarat duri dalam daging kepada kerjasama parti pembangkang dalam gabungan PR.

Isu jawatan PM mula menjadi polemik umum selepas Dewan Ulama PAS serta perwakilan parti itu sepakat untuk mengangkat Presiden mereka sebagai PM, dengan alasan ketokohan dan kredibilitinya jauh lebih baik berbanding Anwar Ibrahim.

Apa sahaja alasannya, cadangan tersebut jelas bercanggah dengan kesepakatan bersama pemimpin tertinggi PR yang sebelum ini telah menetapkan Anwar sebagai calon PM seandainya pembangkang berjaya menguasai PRU 13.

Namun demikian, ramai juga ahli dan penyokong PAS yang teruja bila saranan itu ditimbulkan, sedikit sebanyak berjaya mengurangkan rasa rendah diri mereka yang selama ini terkenal dengan jolokan balaci dan keldai tunggangan DAP dan PKR.

Bagaimanapun tak semua pemimpin PAS berani mengiakan cadangan melantik Hadi sebagai PM, terutama bagi mereka yang sudah sebati sebagai geng Anwarinas rata-ratanya lebih selesa melihat Anwar terus kekal sebagai satu-satunya calon PM bagi PR.

DAP pula melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng tanpa berselindung tegas menolak sebarang usaha untuk menobatkan Presiden PAS sebagai PM, sebaliknya menyeru pemimpin dan penyokong PAS supaya memegang persetujuan bersama untuk merealisasikan impian Anwar untuk merasai keempukan kerusi PM.

Polemik ini tambah menarik lagi apabila kenyataan Guan Eng itu disokong pula oleh Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dan turut dipersetujui Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang mahu pencalonan Anwar sebagai PM kekal milik Anwar.

Namun begitu, disebalik polemik dan kekalutan pemimpin dan penyokong pembangkang sibuk mempertahankan calon pilihan masing-masing, ia sebenarnya memperlihatkan betapa kemaruknya parti pembangkang mahu mengejar kuasa.

Rakyat di serata pelusuk negara tidak buta untuk melihat hakikat ini, belum pun diberi peluang mentadbir Kerajaan Pusat tapi pemimpin pembangkang sudah berebut-rebut jawatan, nampak gayanya kalau betul mendapat kuasa kelak mahunya bercakaran siang dan malam.

Silap percaturannya, tatakala PAS dan PKR sibuk bertegang leher berebut sakan untuk menentukan antara Hadi dan Anwar mana satu yang patut menjadi PM, alih-alih Karpal Singh ataupun Lim Kit Siang pula yang tersenyum sumbing sambil hati berbunga riang.


Jual Buah Dapat Hilux, Jual Aiskrim Dapat Ferrari

Sakan betul Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin memborong pelbagai jenis kereta mewah sejak bergelar wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Ampang. Daripada sekadar memiliki sebuah MyVi tetiba saja bertukar citarasa kepada Toyota Hilux, Volvo dan Mercedes Benz.

Sebelum ini dalam salah satu kempen PKR, ada pemimpinnya menyeru rakyat memboikot pembelian kereta kononnya selepas PR memerintah nanti, harga kereta akan diturunkan, tika itu barulah rakyat digalakkan membeli dengan harga baru yang jauh lebih rendah.

Rupa-rupanya saranan tersebut tak terjangkau untuk dilaksanakan oleh Zuraidah, itu yang belum pun kereta VOLVO XC90 mencecah usia dua tiga tahun dibelinya pula dua buah Toyota Hilux dan terbaru pula kini Zuraidah sedang selesa memandu Mercedes Benz E240.

Bukan calang-calang orang boleh merasai pelbagai jenis keempukan kereta yang berjenama dan mahal sebegitu. Tapi bak kata rakan kita di Sel13.Com, tuah ayam nampak di kaki, namun tuah manusia sekalipun masam tubuhnya tiada siapa yang tahu.

Memang bertuah betul menjadi pemimpin pembangkang, dalam sibuk-sibuk mereka menuduh pemimpin BN hidup bermewah-mewahan, sempat pula Ketua Wanita PKR sendiri menunjukkan contoh kehidupan tawadduk dan zuhud sehinggakan penyokong PR yang sudah sedia pening jadi mereng akhirnya.

Kata dulang paku serpih, kata kat orang pemimpin PKR pula yang terlebih-lebih. Dan kemewahan hidup gaya zuhud yang dikecapi Zuraidah sekarang, bukanlah satu-satunya yang pernah wujud.

Timbalan Presiden PKR sendiri, walaupun suatu ketika dulu kerap ke hulu hilir bertemu rakyat dengan hanya memandu kereta buruk Wolkswagen untuk memperlihatkan kezuhudannya di mata rakyat, namun ramai yang tahu ada sebuah Ferrari yang bernilai ratusan ribu ringgit menjadi miliknya.

Malah ada khabar menyatakan Azmin telahpun membeli sebuah Lamborghini yang harganya hanya termampu dibayar oleh jutawan dan tauke balak sahaja.

Jika Zuraidah yang sebelum dilantik menjadi YB Parlimen Ampang dulunya cumalah seorang penjual buah-buahan sambil menjual ubat-ubatan tradisonal dan kini mampu bergaya sakan mengalahkan seorang jutawan, apa nak hairannya dengan Azmin, ya tak?

Jual buah tepi jalan pun mampu beli Toyota Hilux, Volvo dan Mercedes. Takkanlah sebagai orang penjual aiskrim special berperisa jamban tak mampu pula memiliki Ferrari dan Lamborghini, tak begitu?

Tuesday, November 20, 2012

PAS Menzalimi Agama Islam & Rakyat

Sudah jadi kebiasaan bagi pemimpin pembangkang terutama dari PAS mengadu domba dan mempropagandakan tuduhan liar mengatakan Kerajaan BN adalah zalim, anti Islam, firaun dan sebagainya.

Tak cukup dengan propaganda persepsi buruk sedemikian, mereka guna pula agama sebagai modal politik termasuklah memperalatkan solat hajat, tazkirah dan doa untuk memainkan sentimen agama dikalangan penyokong dan orang ramai.

Solat hajat, tazkirah dan doa adalah perkara yang baik yang dituntut oleh Islam namun bila dipolitikkan kesannya keberkatan hilang dan rahmat Allah s.w.t tidak kesampaian, sebaliknya yang datang polemik tak berkesudahan dan kecaman khalayak ramai.

Inilah yang terjadi berikutan dari doa berunsur politik kepartian yang dibacakan oleh adik kandung kepada Mursyidul Am PAS, iaitu Nik Razi Nik Mat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV tempohari.

Isi kandungan doa yang mengecam UMNO dan BN yang kononnya menzalimi agama Islam dan menindas rakyat seumpama tingkah laku jahat firaun, Namrud dan Abu Lahab akhirnya mengundang polemik dan mudarat pula buat PAS.

Dah namanya doa politik, niatnya tentu sahaja demi untuk kepartian dan bukannya ikhlas mahukan keredhaan Allah s.w.t. Maka akibatnya terpaksalah PAS menanggung beban di atas sikapnya yang emosional tak bertempat dan tidak berhikmah itu.

Hakikat yang pahit untuk penyokong PAS terima sebenarnya, ialah PAS itu sendiri sejak sekian lama sebenarnya telah menzalimi agama Islam sehingga memudarkan sedikit sebanyak imej kesucian agama ini di mata penganut agama lain.

Suatu ketika dulu di awal tertubuhnya PAS, para pimpinannya sebulat suara menolak kerjasama dengan non-muslim sehingga pernah mengkafirkan orang Islam yang menyokong parti PERIKATAN (sekarang Barisan Nasional) yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC.

Lebihkurang satu dekad sebelum menjelangnya Abad Millenium barulah PAS kenal peri pentingnya kerjasama orang Islam dengan non muslim demi kebaikan bersama.

Tika ini barulah PAS teringat betapa di zaman Rasulullah s.a.w dulu, baginda juga pernah mengadakan kerjasama dengan orang bukan Islam termasuklah dengan kaum Yahudi.

Malangnya kerjasama yang PAS jalin dengan DAP dan PKR langsung tidak memberi manfaat pada ummah apatah lagi untuk kebaikan agama Islam.

PAS gagal menahan asakan pemimpin DAP sehingga akhirnya perarakan Maulidul Rasul kini tidak lagi dapat diadakan di Pulau Pinang yang dikuasai DAP. Berpuluh tahun ia tidak diganggu gugat, datang DAP abang besar PAS segalanya berubah atas nama demokrasi.

Juga berlaku di zaman PAS sebagai lembu tunggangan DAP, di mana kesucian Rumah Allah dinodai oleh pemimpin politik bukan Islam yang dibiarkan saja menyampaikan tazkirah di ruang utama surau dan masjid, manakala anak kariah dan jemaah yang hadir pula terpaku kelu bagaikan tekun mendengar kuliah agama dari ustaz dan tok imam.

PAS juga berdiam diri apabila tulisan jawi pada nama jalan dipertikaikan DAP, malah PAS juga malu untuk ke depan menegur kebiadapan DAP untuk menghapuskan hak keistimewaan agama Islam di sisi Perlembagaan Malaysia dengan berselindung disebalik tuntutan pemimpin DAP yang mahu negara ini diiktiraf sebagai sekular.

Akibat dari kerjasama PAS dengan DAP dan PKR dalam PR itu jugalah kalimah Allah s.w.t dengan mudahnya digadai tanpa rasa bersalah demi untuk menjaga hati penyokong DAP yang beragama Kristian.

Demikian juga bila kita bercakap soal akidah, sampai sekarang PAS tidak berani mengecam secara rasmi keceluparan anak Ketua Umum PKR, Nurul Izzah yang menyarankan orang Melayu Islam diberi hak bebas bertukar agama.

Amanah yang diberikan oleh segelintir rakyat kepada PAS untuk mempertahankan Islam akhirnya dikhianati. Jelas sekali semuanya itu satu kezaliman terhadap agama Islam, pengkhianatan terhadap ummah yang secara sengaja atau sebaliknya telah dilakukan oleh PAS

PAS Pasti KO Kerana Menzalimi Rakyat

Para pemimpin PAS dalam reaksi mereka mempertahankan doa BN KO yang dibacakan Nik Razi Nik Mat, adik kepada MB Kelantan itu beralasan doa tersebut menepati senario negeri Kelantan yang kononnya tertindas dan dizalimi UMNO dan BN.

Siapakah sebenarnya yang sedang menzalimi rakyat? Dan siapakah yang sedang memerintah Kelantan tika ini?

Sejak 22 tahun lalu PAS adalah pemerintah di Kelantan dengan diketuai Nik Aziz sebagai MB, jika lojik menzalimi rakyat Kelantan mahu digunapakai, sewajarnya ia ditujukan pada Nik Aziz dan PAS.

Yang menyebabkan tanah negeri dan rakyat Kelantan seluas 716.8 ekar di Lembah Sireh dipindah milik tanpa mengikut peraturan bukannya disebabkan oleh Kerajaan Pusat pimpinan BN, sebaliknya dilakukan oleh pemimpin PAS yang menguasai Kerajaan Negeri.

Tidakkah ini jelas satu kezaliman dan pecah amanah. Tatkala rakyat memberi amanah menjaga harta negeri, tapi pemimpin PAS pula sesuka hati memindah hak milik tanah kepada syarikat swasta.

Yang terlibat menyerahkan hak pengurusan tanah seluas 80,000 ekar di Hulu Kelantan kepada syarikat Cina Singapura dan Cina DAP ialah pimpinan PAS negeri sehingga kesannya rakyat yang meneroka kawasan tersebut menderita manakala tanah adat Orang Asli pula semakin mengecil.

Apakah itu bukan satu kezaliman apabila hak rakyat dinafikan sedangkan syarikat swasta dan orang luar pula diberi perhatian sehingga mampu mengaut untung berjuta ringgit?

Yang mengakibatkan hampir 40% rakyat Kelantan masih dibelenggu dengan masalah bekalan air bersih semuanya disebabkan kegagalan urus tadbir pemimpin PAS, bukannya pemimpin BN.

Tidakkah ini menzalimi rakyat sedangkan tanggungjawab kerajaan negeri sepatutnya mengambil berat permasalahan rakyatnya?

Hatta kerugian hampir RM50 juta wang rakyat yang terpaksa dibayar pampasan kepada syarikat Thames Water dari England (KWSB) juga disebabkan kecuaian kerajaan negeri pimpinan PAS Kelantan.

Sia-sia saja hampir RM50 juta hangus begitu sahaja, sedangkan dengan wang tersebut jika bijak diuruskan boleh diguna pakai untuk menyediakan paip saluran air bersih yang panjangnya berpuluh kilometer dan mampu menyenangkan beribu buah keluarga yang sekarang ini menghadapi masalah bekalan air.

Demikian halnya dengan permasalahan pekerjaan sehingga memaksa ratusan ribu rakyat Kelantan terpaksa merantau ke negeri-negeri lain. 22 tahun PAS memerintah, jumlah perantau bukannya kian menurun sebaliknya saban tahun terus meningkat.

Bukankah ini zalim namanya apabila kerajaan negeri gagal membantu menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya?

Siang dan malam para pemimpin PAS cuma tahu berceramah sambil si petugas PAS mengusung uncang dan tin milo meminta rakyat menyumbang duit kepada parti. Apa rakyat dapat? Air liur saja.

Amanah yang rakyat berikan kepada PAS di Kelantan sengaja diabaikan dengan berselindung disebalik kopiah dan serban serta ceramah politik, tidak selamanya rakyat akan tertipu dengan permainan politik sebegitu.

Sebetulnya, yang sebenar-benarnya sedang menzalimi rakyat tika ini tidak lain dan tidak bukan ialah pemimpin PAS sendiri. PRU 13 kelak yang akan KO bukannya BN ataupun UMNO, sebaliknya PAS.

PAS Mengaminkan Doa Sang Iblis

Di kala UMNO bangkit mengecam serangan Israel yang membunuh begitu ramai rakyat Palestin, saudara-saudara kita di dalam PAS pula mengecam UMNO kerana kononnya menzalimi Islam dan umat Islam di Malaysia.   Di kala UMNO meneruskan perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara, PAS pula berdoa memohon Putrajaya! 

Di kala UMNO menganggap PAS saudara seagama, PAS terus menganggap UMNO murtad dan kafir.   Alasan PAS ialah UMNO menolak Islam kerana menolak hudud.   

Sedangkan, mengikut Al-Quran, seseorang itu adalah Islam jika beliau berpegang kepada Rukun Iman iaitu:  (1) Beriman kepada ALLAH SWT, (2) Beriman kepada Malaikat-malaikat, (3) Beriman kepada Kitab-kitab, (4) Beriman kepada Rasul-rasul, (5) Beriman kepada Hari Kiamat, (6) Beriman kepada Qada dan Qadar.

Berdasarkan ajaran Al-Quran ini, maka jelas bahawa UMNO adalah Islam dan tidak melaksanakan hudud tidak menjadikan UMNO kafir kerana ia tidak termasuk dalam rukun iman yang menetapkan keIslaman seseorang.  Malahan, UMNO juga telah berkali-kali menegaskan yang parti itu tidak menolak hudud tetapi tidak dapat melaksanakannya mengambil-kira kemajmukan masyarakat dan keadaan semasa di negara ini.  

Namun, dalam Muktamar ke-58nya, PAS telah sekali lagi mengenepikan hakikat ini dan terus menyebarkan kebencian dan memohon kehancuran ke atas saudara seagama mereka di dalam UMNO atas alasan UMNO bukan Islam kerana menolak hudud. 

Entah kenapa PAS telah terlepas pandang bahawa menyebarkan kebencian sesama Islam, meniupkan rasa riak dan takbur ke dalam diri si alim ulama dan menghukum manusia lain dengan hukum Allah adalah kerja iblis, yakni bertentangan dengan seruan Al-Quran. 

Seperti yang kita sedia maklum, doa menghancurkan UMNO bukan perkara baru bagi PAS.  Malah, PAS pernah berdoa lebih dari itu, dengan menujukan khas kepada individu tertentu memohon agar pecah perut dan sebagainya.  Doa menghancurkan UMNO ini dilakukan saban tahun dengan solat hajat yang dihadiri beribu-ribu ahli PAS. 

Saban tahun juga kita terkejut tidak mampu menerima yang begitu ramai saudara kita yang begitu jahil, tega menjadi makmum dan mengaminkan doa sang iblis.  Dan saban tahun juga kita mengangkat tangan syukur kepada Allah SWT kerana doa iblis yang dibisikkan ke telinga tok-tok guru yang kononnya bertaraf wali, yang mulia lagi maksum itu, telah tidak dimakbulkan. 

Sukar untuk kita memahami bagaimana dalam sibuk memperkatakan tentang agama, PAS telah terlepas pandang akan Rukun Iman, hadith dan ayat mengenai iman dan keIslaman seseorang di mana 'hudud' tidak langsung termasuk di dalamnya.  

Dari Anas bin Malik ra, dari Nabi saw, sabdanya : "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya." (HR Bukhari dan Muslim )

Orang-orang Islam yang beriman adalah merupakan suatu kesatuan, sepertimana yang disebut oleh Allah swt di dalam kitabNya yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara."

Sebenarnya, berjihad menentang saudara seagama telah menjadi pegangan 'agama PAS' sejak berdekad-dekad lalu yakni bertitik tolak dari Amanat Hadi Awang yang mengkafirkan UMNO.  Dan kini, Nik Aziz pula memperbaharui pegangan itu dengan memurtadkan UMNO. 

Penulis menyatakan 'agama PAS' kerana ajaran yang dibawa oleh PAS untuk memerangi saudara seagama bukanlah ajaran agama Islam, malah jauh bertentangan dan dimurkai Allah SWT. 

Kesanggupan PAS membelakangkan ajaran Islam membuktikan bahawa PAS mengambil sikap membujur lalu melintang patah demi mencapai Putrajaya.  Pilihanraya adalah segala-galanya bagi PAS iaitu matlamat hidup mati mereka seolah-olah ia merupakan salah satu syarat untuk menyempurnakan ibadah dalam 'agama PAS' ialah dengan memastikan parti mereka menang pilihanraya.  

Malah, jika rukun iman 'agama PAS' disenaraikan, maka ia pasti meletakkan kemenangan pilihanraya sebagai rukun yang pertama dan hudud sebagai yang kedua.  Semua rukun iman dalam Islam yang lain, tidak penting selagi kedua-dua rukun yang pertama tadi tidak dicapai. 

Ini mungkin juga kerana dalam 'agama PAS', semua ahli telah dijanjikan syurga maka mereka tidak perlu lagi mengambil-kira tuntutan berbuat baik sesama manusia, menyayangi saudara seagama dan sebagainya. 

Justeru, dengan syurga sudah didalam genggaman, apa lagi yang ahli-ahli PAS perlu perjuangkan, selain kuasa, pilihanraya dan Putrajaya.  Bukan begitu? 

Penulis dapat tahu bahawa ramai juga di kalangan ahli-ahli PAS yang cuak dan gusar dengan doa ini, tetapi seperti yang dijangka, kegusaran mereka tidak dapat mengatasi keinginan mereka untuk menang pilihanraya. 

Kerana itu, penulis tidak mampu mengulas panjang lagi mengenai isu ini, melainkan mendoakan agar kita semua, saudara seagama, sentiasa berada di jalan yang benar, tidak kira di dalam UMNO, PAS mahupun di Palestin atau di mana juga, serta tidak kira yang alim, jahil atau apa saja rupa dan penampilannya.  Selagi semuanya berpegang kepada Rukun Iman selagi itulah mereka penulis anggap sebagai saudara seagama yang disayangi lagi dikasihi dan bukan untuk diperangi. 

Semoga kita semua selamat dari kehancuran akibat tipu daya sang iblis dan syaitan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...