Monday, January 13, 2014

Sasar 12288 Pengundi Baru

UMNO Bahagian Masjid Tanah menyasarkan untuk mendaftar 12,288 pengundi baharu dalam tempoh empat tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketuanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, sasaran itu mampu dicapai sebagai persiapan awal memastikan kerusi-kerusi di dalam Parlimen yang menjadi kubu UMNO tersebut terus dipertahankan pada pilihan raya akan datang. Menurutnya, kempen mendaftar golongan muda sebagai pemilih di Parlimen Masjid Tanah akan dilancarkan pada 25 Januari ini. Pelancaran itu sempena Karnival UMNO Masjid Tanah yang akan dirasmikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Kuala Linggi dekat sini.

''Karnival ini diadakan bertujuan merakyatkan UMNO dalam kalangan penduduk di Parlimen Masjid Tanah iaitu usaha dari peringkat cawangan untuk mendekati rakyat hingga ke akar umbi,'' katanya di sini semalam.

Ab. Rauf yang juga Setiausaha Kerja UMNO berkata, UMNO Bahagian Masjid Tanah menyasarkan empat pengundi baharu didaftarkan setiap bulan yang turut dibantu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri secara bersepadu. Di samping mendaftar pengundi baharu, usaha turut dilakukan untuk mendaftar keahlian baharu dalam usaha memperkukuhkan kedudukan parti. Mengulas program merakyatkan UMNO, Ab. Rauf berkata, beberapa perubahan pentadbiran UMNO bahagian diberi nafas baharu ke arah mendekati rakyat hingga ke peringkat akar umbi. Menurutnya, bagi fasa pertama program itu, semua ketua cawangan dan biro yang telah dilantik akan memulakan program turun padang.

''Kita telah buat ketetapan mesyuarat bahagian akan diadakan secara bergilir di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Masjid Tanah dan bukan lagi di pejabat bahagian seperti lazimnya," katanya.

Kata Ab. Rauf, setiap cawangan juga telah diarahkan membuat laporan bulanan berkaitan permasalahan rakyat untuk diselesaikan.

''UMNO Bahagian akan berperanan memanjangkan masalah rakyat yang dikemukakan kepada pihak berkaitan termasuk kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

''Jika rakyat dapat menyalurkan masalah kepada UMNO bahagian atau cawangan dan ini adalah kaedah pengurusan pentadbiran masyarakat terbaik untuk dipraktikkan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...